Berniga Cara Badiuzzaman Said Nursi
>> Tuesday, July 6, 2010
Dalam membicarakan mengenai kisah perniagaan dengan Allah ini, saya tertarik dengan penghuraian dan penjelasan yang dilakukan oleh Syeikh Badiuzzaman Said Nursi dalam risalah an-nur. Penerangan beliau adalah berkaitan dengan surah at-Taubah ayat 111 yang berbunyi
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mu'min, dari diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah lalu membunuh atau terbunuh.(itu telah menjadi)Janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dari itulah kemenangan yang besar"
Dalam menerangkan ayat di atas, Syeikh Badiuzzaman telah mengaitkannya dengan sebuah cerita berikut
Pada suatu hari, seorang sultan telah meletakkan barang amanah di sisi dua orang rakyatnya, iaitu bagi setiap orang sebuah ladang yang luas. Di dalam ladang terdapat segala jenis mesin, alat, senjata, haiwan dan sebagainya.. Kebetulan waktu itu merupakan zaman perang yang sengit. Tiada suatu benda pun yang berada dalam keadaan stabil. Sama ada keadaan perang mengubah keadaannya atau memusnahkannya sama sekali. Lalu sultan itu dengan segala rahmat dan kelebihannya mengutus seorang utusan yang rapat dengannya bagi membawa perintahnya yang mulia untuk disampaikan kepada kedua-dua orang rakyatnya itu. Utusan itu berkata:
“Jualkanlah kepadaku segala barang amanah yang terdapat pada kamu untuk aku menjaganya bagi pihak kamu. Agar segalanya tidak musnah begitu sahaja pada zaman yang amat genting ini. Aku akan mengembalikannya kepada kamu, apabila perang telah selesai.. Aku akan memberikan bayaran yang tinggi, seolah-olah barang amanah itu adalah milik kamu sendiri.. Sekarang kamu masih boleh menggunakan mesin dan alat yang berada di dalam penjagaan kamu itu tetapi di dalam bengkelku dengan namaku dan dengan penjagaan daripadaku.. Harganya pula akan menjadi berlipat kali ganda daripada satu kepada seribu di samping semua keuntungan akan kembali kepada kamu semuanya.. Aku juga berjanji akan menanggung segala kos dan perbelanjaan penjagaan mesin dan alat tersebut, kerana kamu tidak mampu dan miskin serta tidak berdaya untuk menanggung kos tersebut.. Aku juga akan mengembalikan kepada kamu segala hasil dan manfaat yang diperolehi. Aku juga akan mengekalkan hasil dan manfaat itu di sisi kamu agar kamu dapat mengambil faedah daripadanya dan mendapat kenikmatan daripadanya sehinggalah tiba waktu untuk mengambilnya daripada kamu.”
Dengan itu, kamu mempunyai lima martabat keuntungan hanya melalui satu urusan perniagaan sahaja.
Jika kamu tidak menjualnya kepadaku, semua yang ada di sisi kamu pasti akan hilang. Kamu juga akan melihat bagaimana tiada seorang pun yang mampu mengekalkan apa yang ada di sisinya.. Kamu juga tidak akan memperoleh harganya yang mahal.. Kamu juga akan meninggalkan segala peralatan yang hebat dan mahal, neraca yang amat sensitif dan galian yang bernilai. Kamu akan kehilangan nilainya keseluruhannya. Ini adalah kerana ia tidak digunakan pada kerja yang bernilai tinggi.. Kamu juga akan menanggung segala perbelanjaan dan kos pentadbirannya, serta kamu juga akan melihat balasan pengkhianatan kamu terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan.. Itulah lima kerugian yang diamali dalam satu urusan perniagaan sahaja. Lebih dari itu, dengan jual beli tersebut penjual itu menjadi seorang tentera yang mulia dan bebas serta menjadi tentera elitku yang bertindak dengan namaku. Tidak lagi menjadi orang tawanan biasa dan individu yang terbiar begitu sahaja..”
Kedua-dua orang lelaki tadi mendengar perkataan-perkataan yang indah dan perintah sultan yang mulia itu dengan penuh khusyuk. Maka si pintar dan berakal daripada mereka berkata:
“Saya dengar dan patuh akan perintah sultan. Saya reda terhadap jual beli tersebut dengan penuh kebanggaan dan kesyukuran.”
Manakala yang seorang lagi, iaitu si lalai, tertipu dan jahil menyangka bahawa ladangnya tidak akan musnah selama-lamanya dan tidak ditimpa bencana alam dan kemelut dunia. Dia berkata:
“Tidak! Siapa sultan?! Aku tidak akan menjual milikku. Aku tidak akan merosakkan keghairanku untuk bergembira!”
Hari-hari berlalu.. Lelaki pertama mendapat kedudukan tinggi yang dicemburui oleh orang ramai, kerana dia tinggal di tengah-tengah kemakmuran istana sultan. Dia mendapat kenikmatan daripada sifat kasih sayang sultan dan sentiasa berada di atas bangku-bangku kelebihan baginda. Manakala lelaki kedua pula diberikan bala bencana sehingga semua orang meratapi keadaannya, meskipun mereka berkata: “Memang dia berhak menerimanya.” Kerana dialah yang membenamkan dirinya dalam kepahitan azab sebagai balasan terhadap kesalahan yang dilakukannya. Oleh itu, keghairahannya untuk bergembira tidak kekal lama, begitu juga dengan pemilikannya.
Syeikh Badiuzzaman lalu mengaitkan cerita ini dengan hakikat kehidupan yang sebenarnya dengan menggantikan point-point berikut kepada kehidupan yg sebenar
1)Sultan sebagai Allah Subhanahu wa Taala, Rabbul Alamin
2)Ladang, mesin, peralatan, neraca timbangan itu sebagai nikmat yang Allah beri kepada kita di muka bumi ini iaitu tubuh badan, ruh, hati, pendengaran, penglihatan, akal dan khayalan serta segala pancaindera yang ada pada di kita samada yang zahir mahupun batin
3)Utusan yang dihantar oleh Sultan tersebut sebagai Sayyidina Muhammad Rasulullah S.A.W
4)Perintah Sultan pula adalah kandungan ayat 111 surah at-Taubah.
5)Peperangan yang berlaku dan kawasan huru-hara tersebut sebagai hal ehwal dunia yang tidak pernah kekal. Semuanya akan berubah dari semasa ke semasa bahkan ianya akan meluput dan hilang daripada kita.
Keuntungan
Di Dalam cerita di atas telah dikhabarkan mengenai lima keuntungan yang bakal diterima oleh mereka yang menjualkan segala barang mereka. Lima keuntungan tesebut adalah :
Keuntungan Pertama
Segala Harta yang musnah tersebut akan menjadi kekal abadi, di samping hayat seorang insan menjadi kekal di sisi Tuhannya yang tercinta.Keuntungan Kedua
Ladang yang luas tersebut yakni dunia akhirnya bertukar kepada suatu tempat yang sangat indah yakni Syurga. Di dalamnya lengkap dengan segala kemudahan, apa yang terlintas di fikiran pasti akan muncul di depan mata dengan izin Allah Ar-RahmanKeuntungan Ketiga
Harga setiap barang jualan yakni setiap anggota dan pancaindera akan meningkat dengan mendadak menjadi seribu kali ganda daripada yang biasa. Setiap apa yang dilakukan akan tersingkat hikmat keagungan Ilahi yang akhirnya akan menjadikan hidupnya aman dan tenteramNamun bagi mereka yang sombong dan tidak ingin menjual barangnya, harga tersebut akan jatuh merudum akibat hilangnya kualiti terhadap barangan tersebut. Ini disebabkan oleh terpesongnya jalan mereka tatkala mereka telah mengikuti jalan hawa nafsu dan syaitan lalu menjadikan segala perlakuan kita mendatangkan kemudharathan kepada orang lain.
Keuntungan Keempat
Sesungguhnya manusia adalah daif sedangkan musibah yang menimpanya banyak. Dia adalah fakir dan keperluannya semakin bertambah. Dia adalah lemah tetapi tanggungan kehidupannya amat membebankan. Jika manusia ini tidak bertawakkal dan tidak bersandar kepada tuhan yang maha tinggi lagi maha berkuasa, jika dia tidak menyerahkan segala urusan kepadaNya dan tidak merasa tenang denganNya, maka dia akan terus mengalami kesakitan yang berterusan di dalam perasaannya. Penyesalan dan usahanya yang tidak mendatangkan hasil akan sentiasa mencekiknya sehingga menjadikannya sama ada seorang penjenayah yang kejam atau pemabuk yang melampau.
Keuntungan Kelima
ibadat, zikir dan tasbih yang dilakukan oleh anggota-anggota badan ketika ia beramal dalam batasan sempadan keredhaan Allah swt, akan bertukar menjadi buah-buahan syurga yang sedap dan lazat yang dihidangkan kepada anda ketika anda amat berhajat kepadanya.
Kerugian
Namun, dalam menceritakan keuntungan yang bakal diterima oleh mereka yang menjualkan harta dan jiwanya itu, Syeikh Badiuzzaman juga menyatakan kerugian yang akan dialami sekiranya mereka gagal menjualkan harta dan jiwa mereka. 5 kerugian kerugian yang sangat besar terpaksa ditanggung oleh mereka.
Harta dan anak yang anda kasihi, hawa nafsu yang anda layani, kehidupan dunia serta zaman muda yang anda kagumkan, semuanya akan lenyap dan hilang. Ia juga akan meninggalkan sisa-sisa dan kesan-kesan dosa dan kesakitan yang tertanggung di atas belakang anda.
Kerugian kedua
Anda akan mendapat balasan sebagai seorang yang mengkhianati amanah. Kerana dengan penggunaan alat serta anggota yang paling berharga pada perkara yang paling hina, bererti anda telah menzalimi diri anda sendiri.
Kerugian ketiga
Anda telah melakukan pembohongan dan jenayah terhadap hikmat ilahi, kerana anda telah menjatuhkan segala peralatan kemanusiaan yang tinggi kedudukannya itu kepada darjat binatang ternakan, bahkan lebih rendah lagi.
Kerugian keempat
Anda akan sentiasa menyeru dengan kecelakaan dan kemusnahan. Anda akan sentiasa mengeluh akibat kejutan perpisahan, kehilangan dan injakan tanggungan kehidupan yang membebankan bahu anda yang sudah sememangnya lemah. Sedangkan kefakiran anda sudah sedia wujud dan kelemahan anda sentiasa berpanjangan.
Kerugian kelima
Sesungguhnya hadiah Allah yang indah seperti akal, hati, mata dan seumpamanya, tidak dianugerahkan kepada anda melainkan untuk menyediakan anda bagi membuka pintu-pintu kebahagiaan abadi. Oleh itu, alangkah besarnya kerugian anda jika hadiah-hadiah tersebut bertukar menjadi gambaran penderitaan yang membuka pula pintu-pintu neraka jahannam!
Resolusi
Di samping itu, kita harus ingat bahawasanya, segala apa yang dimiliki ini bukanlah milik kita. Ianya adalah nikmah yang telah Allah kurniakan kepada kita. Namun tidakkah kita hairan apabila berniaga dengan Allah, segala apa yang dijual itu adalah milik Allah, akan tetapi Allah tidak mengambil segala apa miliknya, malah membeli apa yang diberinya lalu memberikan sesuatu yang lebih baik sebagai pulangan.
Inilah buktinya betapa Ar-Rahmannya Allah terhadap hambanya. Kita sebagai hambanya harus punyai rasa syukur yang mendalam atas segala nikmat yang diberi. Dari sekecil-kecil zarah, hinggalah sebesar-besar alam semesta. Alhamdulillah.....Berkorbanlah kamu dengan harta dan jiwa.......Demi Allah......Demi Rasulullah.......Demi Islam tercinta.....Allahu Akhbar
0 comments:
Post a Comment