Benarkah sejarah yang kita belajar selama ini?

>> Thursday, September 10, 2009

Sejarah sebenarnya merupakan satu aspek penting dalam kehidupan kita. Ianya memainkan peranan penting dalam mengingatkan kita akan kesalahan-kesalahan yang terdahulu ataupun mengingatkan kita kepada kejayaan-kejayaan yang pernah kita kecapi. Kita juga boleh pelajari sejarah-sejarah orang lain untuk mengelakkan diri kita dari kebinasaan dan juga mendorong kita kepada kejayaan. Untuk terus berjaya, kita mesti mendekati orang yang berjaya. Dengan itu, kita boleh mempelajari segala usaha yang telah dilakukan demi mencapai kejayaan tersebut. Sebagai contoh, seperti amalina yang berjaya mendapat 18A dalam SPM, Kita boleh pelajari faktor-faktor yang telah mendorong beliau kepada kejayaan yang dikecapinya.


Sejarah dalam Al-Quran


Di dalam Al-Quran juga ada banyak kisah-kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu, bagaimana mereka menebarkan dakwah, bagaimana mereka ditentang, dan bagaimana Allah membinasakan mereka yang ingkar, semuanya ada sebab musabab yang boleh kita pelajari dan jadikan teladan. Tujuan Allah meletakkan kisah nabi-nabi di dalam Al-Quran bukannya hanya untuk menambah muka surat, tapi sebagai pengajaran kepada manusia yang masih hidup untuk mereka mengikuti jalan yang benar. Dan ianya juga menjadi suatu ancaman kepada mereka yang cuba mengingkari perintah Allah S.W.T. Sperti kisah bani Israel yang mana telah menderhakai Allah dengan berbagai-bagai peristiwa, antaranya mengenai kisah baitul maqdis di mana pada suatu ketika dahulu, Allah menyeru kaum bani Israel supaya menakluki negara itu, disebabkan rasa takut dan tidak yakin dengan pertolongan Allah, lalu mereka mengingkari perintah Allah dan berkeliaran di sekitar padang pasir dan disebabkan keingkaran mereka itu, Allah memberikan kota baitul maqdis kepada kaum lain. Namun pada hari ini mereka merampas kembali dengan keganasan dan menyatakan bahawasanya kota baitul maqdis itu merupakan milik mereka dan sebuah kota yang telah dijanjikan oleh Allah kepada mereka, ini merupakan suatu aspek yang kita boleh pelajari mengenai perlunya kita berwaspada terhadap dalam segala perkara yang melibatkan kaum yahudi.



Belajar Dari Sejarah


Sejarah boleh juga menjadi faktor untuk kita membina sebuah negara yang aman damai. Setiap sejarah yang berlaku, pasti ada benda yang boleh kita belajar, contohnya seperti sejarah awal Islam dimana Nabi Muhammad S.A.W yang kitika mulanya hanya mampu mengembangkan Islam di kalangan sahabat-sahabat, namun pada akhirnya beliau berjaya merubah masyarakat arab yang sangat jahiliah pada ketika itu, menjadi suatu masyarakat Islam yang digeruni oleh tamadun-tamadun lain. Setiap perkara yang berlaku pasti ada sejarah, dan ada benda yang ingin disampaikan kepada kita, namun apa yang membimbangkan kita adalah adakah sejarah yang kita belajar sejak dari zaman persekolahan ini merupakan satu sejarah yang benar ataupun hanyalah satu mainan oleh pihak-pihak tertentu.


Kesahihan kebanyakkan sejarah yang menjadi pelbagai keraguan

Mengikut kepada fakta-fakta yang diperolehi dari berbagai-bagai sumber sama ada lisan ataupun tulisan, sebenarnya sejarah yang kita belajar ketika di zaman persekolahan mempunyai banyak kekurangan dan penambahan dalam suatu aspek-aspek tertentu untuk kepentingan sesuatu pihak. Apabila kita membaca di berbagai-bagai buku sejarah, kita akan dapati bahawa terdapat suatu kelainan yang besar dalam sejarah yang kita pelajari suatu ketika dahulu. Dan apa yang menghampakan ialah kebanyakkan yang cuba dikurangkan dalam sejarah yang kita pelajari adalah mengenai percubaan untuk membangunkan Islam ketika zaman kita dijajah oleh masyarakat Barat. Sebagai contohnya, ketika tokoh-tokoh melayu yang sangat kita kagumi, seperti dol said, dato' maharaja lela, abdul rahman limbung. Ini merupakan suatu yang pelik kerana dalam sejarah yang kita pelajari, kebanyakkannya bangkit atas dasar yang sama iaitu cukai, pengaruh, kawasan taklukan. Semuanya atas sebab ini. Tapi pada hakikat yang sebenar pada zaman itu, mereka ini cuba membangunkan dan mengukuhkan kembali empayar Islam yang cuba dirobohkan oleh orang Barat. contohnya seperti Daro' maharaja lela yang sanggup mengorbankan dirinya untuk membunuh penasihat British, yang pada sejarah yang kita pelajari pada ketika itu mengatakan beliau berbuat begitu atas sebab-sebab yang remeh-temeh yang disebutkan tadi, tapi pada hakikatnya dia berkorban atas dasar untuk mengurangkan pengaruh Barat yang ingin menyebarkan kristian pada masyarakat Melayu pada ketika itu.

Antara contoh yang lain penipuan dalam sejarah adalah ketika saat pembebasan tanah melayu daripada penjajahan British. Apabila dipikirkan, Apa yang kita baca semuanya berkisarkan macammana UMNO ingin memerdekakan Tanah Melayu. Ianya seperti cerita sejarah penubuhan UMNO sejak dari mula bab pembebasan Tanah Melayu. Dari Dato' Onn sehinggalah ke Tunku Abdul Rahman yang berjaya memerdekakan Malaysia. Yang peliknya, Adakah ketika itu, hanya UMNO saja yang bangun memperjuangkan kemerdekaan dengan fahaman sekular yang dibawa itu?
semestinya tidak, sebenarnya terdapat beberapa gerakan lain yang cuba membebaskan Tanah Melayu. Antara gerakan yang cuba mengembalikan Islam hizbul muslimin. kalau kita liaht dalam buku sejarah, mereka berjaya memenangi satu kerusi. Bagaimana pula sejarah Hizbul muslimin yang ghaib tanpa diketahui? Bagaimana sejarah cubaan British untuk menangkap pimpinan hizbul muslimin dengan alasan mereka ini pengganas? semuanya telah dipadamkan oleh pihak tertentu untuk menghalang kebangkitan kembali Islam di Malaysia ini.


Kesimpulan


Apa yang hendak penulis tekankan di sini adalah kita tidak sepatutnya mempercayai sepenuhnya sejarah yang kita pelajari, setiap fakta haruslah dikaji akan kesahihannya. Sejarah adalah satu elemen yang sangat penting kepada manusia dan ianya boleh menjadi kayu ukur atas apa yang telah kita capai. Jika sejarah itu kita putar belitkan untuk kepentingan tertentu, maka bagaimana masyarakat sekarang hendak memahami situasi dahulu demi membawa satu anjakan yang baru kepada masyarakat yang akan datang. Adakah kita akan biarkan anak-anak kita terus didoktorinkan dengan sejarah yang telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu???......

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP