Pasakkan semangat Jihad demi mendepani bulan-bulan Ramadan

>> Monday, August 24, 2009

Bulan yang dinanti-nanti telah mula menampakkan dirinya. Bulan yang penuh dengan barakahnya. Bulan yang dibuka seluas-luasnya pintu syurga dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka. Setelah menyelusuri 2 bulan haram iaitu bulan rejab dan syaaban, kini tiba pula bulan Ramadan yang dikatakan bulan yang penuh dengan pelbagai rahmat yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Bulan ini merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Islam yang cintakan ibadah oleh kerana balasan yang bakal diperolehi tidak dapat dicari di bulan-bulan yang lainnya. Ibadah wajib akan dilipatgandakan manakala ibadah sunnat akan dikira pahalanya sebagai pahala ibadah wajib. Ini merupakan suatu peluang untuk kita mula melabur demi mencapai keuntungan yang berlipat kali ganda.

Kelebihan Bulan Ramadan

Bulan ramadan merupakan bulan yang rahmatnya melimpah ruah, terlalu banyak kelebihan yang Allah S.W.T kurniakan dalam bulan ini. Begitu banyak hadis-hadis Rasulullah S.A.W menceritakan kelebihan bulan ramadan. Antara hadis yang mahsyur ialah

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, Bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Ketika datang bulan Ramadhan: sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka diharamkan kebaikannya bagi siapa yang tidak beramal baik di dalamnya, sesungguhnya tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini”.

(Hadis riwayat Ahmad, Nasai dan Baihaqi)


Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-


Allah berfirman : Maksudnya: “Bulan ramadhan, bulan yang diturunkan padanya (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara haq dan batil), barang siapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu..” [Al-Baqarah: 185]


Jibril عليه السلام berkata kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

من أدرك رمضان فلم يغفر له أبعده الله ، قل : آمين ، قال رسول الله عليه وآله وسلم : آمين

Ertinya: Barangsiapa yang menemui bulan Ramadhan sedang ia tidak diampuni Allah Ta’ala nescaya ia akan dijauhkan dari rahmat Allah. Katakanlah Amin!’ Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkata: ‘Amin. (Hadits riwayat: Ibnu Hibban, ath-Thabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hal itu disebabkan pada bulan Ramadhan begitu mudahnya mendapatkan sebab-sebab maghfirah dibandingkan bulan-bulan lainnya. Kerana itu tiada seorangpun yang diharamkan memperoleh ampunan pada bulan itu, melainkan ia terlalu banyak berpaling dari Allah Ta’ala dan sangat berat penentangannya. Oleh kerananya ia jauhkan dan diusir dari pintu Allah. Kita memohon perlindungan dan keselamatan dari kemurkaan Allah Ta’ala dan siksaNya serta segala bencanaNya.


Jihad + Ramadan = Pembebasan Dari Api Neraka

apabila menceritakan perihal semangat jihad, ramai yang menjumutkan pemikiran. Kefahaman masyarakat sekarang memandang bahawa semangat jihad adalah suatu yang ekstream, ganas, mengenai peperangan. Namun jihad yang sebenar bukanlah hanya pada peperangan semata-mata. Bahkan jihad ini merupakan satu elemen yang penting dalam proses pengabdian seorang hamba kepada sang Pencipta. Jika dilihat dari maksud jihad yang sebenar adalah berasal dari kata dasar ja-ha-da yang bermaksud bersungguh-sungguh. Namun pengertian jihad yang telah disebutkan oleh seorang tokoh dalam era salahuddin al-ayubi adalah "usaha yang bersungguh-sungguh bagi mendapatkan keredaan Allah" dalam erti kata lain usaha yang berlipat ganda demi mencapai keredhaan Allah. Ini sudah semestinya tidak hanya termaktub dalam bahagian peperangan sahaja, bahkan terhadap seluruh ibadah serta perbuatan kita demi mencapai keredhaan Allah.

Bagi mereka yang mencintai ramadhan, sudah tentu ramadhan ini mereka jadikan sebagai batu loncatan untuk meningkatkan amal ibadat ke tahap maksima. Namun ibadat semata-mata tidak memberi kesan yang mendalam untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Penerapan semangat jihad dalam ibadah merupakan satu perkara yang penting bagi memupuk perasaan cinta terhadap Allah terutamanya. Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadat hanya untuk mencari keredhaan ilahi, maka tidak akan timbul soal riak, takbur, sombong, meninggi diri, bangga terhadap ibadah yang dilakukan. Semangat jihad dan kelebihan yang Allah berikan dibulan ramadhan ini merupakan satu peluang bagi kita untuk memperbanyakkan ibadat di samping cuba menghayati setiap ibadat yang dilakukan. Peluang untuk menerapkan semangat jihad di bulan ramadhan ini lebih mudah dari bulan-bulan yang lain oleh kerana syaitan-syaitan yang telah dibelenggu, ruang-ruang santapan fizikal yang boleh kita tukarkan kepada santapan rohani serta janji-janji Allah di bulan ramadhan yang membuatkan mereka yang mencintakan syurga terliur apabila mendengarnya. Tambahan pula apabila malam al-qadr terletak di bulan ramadhan. Ini akan memudahkan lagi proses penerapan semangat jihad dalam melakukan ibadah.

3 fasa dalam bulan ramadhan


Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :

أوله رحمة، وأوسطه مغفرة، وآخره عتق من النار، وأن الله تعالى ينظر في أول ليلة منه إلى المسلمين، ومن نظر إليه لم يعذبه، ويغفر لهم في آخر ليلة منه

Ertinya: Awalnya (bulan Ramadhan) adalah rahmat, pertengahnya adalah ampunan, dan akhirnya adalah pembebasan. Dan sesungguhnya Allah Ta’ala menilik (dengan pandangan rahmatNya) kaum Muslimin pada malam pertama dari bulan Ramadhan tersebut, dan siapa yang mendapat tilikan Allah Ta’ala nescaya ia tidak akan disiksaNya, selanjutnya Dia mengampuni mereka pada akhir malam dari bulan Ramadhan. (Hadits riwayat: Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)

sepertimana yang telah diterangkan dalam hadis di atas, 3 fasa ramadhan ramadhan yang perlu kita ambil cakna iaitu,

fasa pertama : rahmat (1-10)
fasa kedua : maghfirah (11-20)
fasa ketiga : pembebasan dari api neraka (21^)

sekarang kita masih di fasa pertama, iaitu fasa rahmat apabila Allah mula menutup pintu neraka dan membuka pintu syurga seluas-luasnya serta diikatnya syaitan-syaitan. Inilah masanya untuk kita mula melawan nafsu-nafsu amarah apabila bantuan dari syaitan telah dihalang. Gunakan peluang ini untuk menerapkan semangat jihad yang kukuh sebagai langkah persedian kita untuk memburu malam al-qadr di fasa ketiga iaitu sepuluh malam terakhir.


Penutup

Bulan ramadhan merupakan bulan yang sesuai untuk kita mula untuk berjinak-jinak dengan jihad serta peuang untuk umat Islam membersihkan diri daripada sifat-sifat buruk. Jihad yang dimaksudkan diatas bukanlah terhadap ibadah ritual semata-mata, namun ibadah-ibadah lain juga perlu dititikberat demi mencapai keamanan sejagat. Inilah masanya untuk kita menperbetulkan diri sehabis mungkin moga-moga semangat jihad yang ditanam di bulan ramadhan akan menjadi pencetus kepada ibadat kepada konsistennya ibadat di bulan-bulan yang lain.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP