Mahasiswa : Sampai bilakah kita ingin begini?
>> Monday, October 17, 2011
Akhir-akhir ini, seringkali kita dihujani dengan masalah sosial yang kian mejadi-jadi sepertimana virus yang tidak henti-henti merebak.Sejak masuknya kita ke tahun millinium , berbagai-bagai masalah yang timbul menghiasi dada-dada akhbar berkaitan masalah sosial serta keruntuhan akhlak dan ianya seakan-akan seperti barah yang telah mencapai tahap kritikal dan hanya menunggu mati.
Menjadi satu kebimbangan apabila majoriti yang terlibat dalam masalah sosial dan keruntuhan akhlak tersebut adalah dari kalangan anak muda termasuk juga mereka dari kalangan mahasiswa yang dikatakan golongan cerdik pandai.
Runtuhnya Kredibiliti Mahasiswa
Suatu ketika dahulu, mahasiswa sangat dipandang tinggi oleh masyarakat. Gerakan-gerakan mahasiswa dahulunya sangat peka dengan isu-isu yang berlaku di sekeliling dan seringkali menjadi pendesak kepada kerajaan dalam melaksanakan atau mengembalikan hak rakyat yang telah tertindas. Laungan perjuangan senantiasa kedengaran yang tersirat dengan semangat anak muda yang memperjuangkan keadilan sejagat. Mahasiswa-mahasiswa ini akhirnya lahir sebagai pemimpin-pemimpin masyarakat.
Namun beza sekali dengan mahasiswa kini, mahasiswa kian menjadi lesu sehinggakan ada yang buta dan tuli dengan isu-isu yang berlaku di sekeliling, bak kata pepatah seperti "katak di bawah tempurung". Barah sosial yang dahulunya dianggap kecil, kini telah merebak masuk ke kampus-kampus dengan budaya hedonisma. konsert dan aktiviti hiburan melampau telah mencemarkan universiti sebagai pusat akedemik atau pusat ilmu. Masalah mahasiswa terlibat dalam kes sosial seperti zina, rogol, bunuh diri dan sebagainya kian muncul sehinggakan mahasiswa menjadi antara kumpulan majoriti dalam masalah sosial.
Tambahan pula dengan virus "aku tidak pedulisme" yang kian merebak di kalangan mahasiswa, menyebabkan sebahagian besar daripada masyarakat telah putus harapan dengan mahasiswa. Budaya "kafe, kuliah, katil" telah menjadi rutin bagi sebahagian mahasiswa. Langsung tidak membekas kesan positif kepada masyarakat. Yang tinggal hanyalah program-program khidmat masyarakat yang memberi bantuan kepada masyarakat hanya dalam jangka masa pendek. Itupun, program dilaksanakan atas dasar ingin memenuhi jam kredit.
Apa yang memburukkan lagi adalah apabila berlaku sekatan-sekatan daripada pelbagai pihak kerana ingin menghalang kebangkitan suara mahasiswa. Akta AUKU telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi menutup mulut mahasiswa terhadap segala isu-isu penindasan terhadap rakyat yang kini dikatakan berada di tahap kritikal. Selain itu, pentadbiran universiti pula bertindak sebagai penambah perisa apabila cuba mengekang mahasiswa terlibat dalam aktivit-aktiviti persatuan. Pelbagai sistem cuba digubal, jam kredit telah ditambah bagi menjadikan mahasiswa terlalu sibuk hinggakan ada yang terpaksa kelas dari pagi hingga ke malam tanpa henti. Tekanan demi tekanan yang terpaksa ditanggung membuatkan ada yang malas ambil peduli akan hal-hal lain.
Mahasiswa kini sudah kian hilang identitinya. Suara mahasiswa kini hanya sayu-sayu kedengaran. Mereka sudah hilang kepercayaan dariapada masyarakat. Kini ramai daripada keluaran universiti terpaksa menanm anggur oleh kerana sukar mendapat pekerjaan disebabkan hilangya kredabiliti di mata majikan. Sampai bilakah anda mahu biarkan perkara ini berlaku? Sampai bilakah anda ingin berada di kepompong itu ?Sampai bilakah anda mahu lihat negara meluncur ke arah kemusnahan?
Oleh itu, Saya dengan ini, ingin mengajak diri serta saudara semua untuk bangun dan lakukan perubahan. Bangun dan nyatakan kebenaran. Bangun dan sedarkan masyarakat. Walau sekecil mana usaha kita, pasti akan mendatangkan manfaat. Biarpun bukan sekarang, biarpun bukan tahun depan, moga-moga suatu hari nanti, atas usaha kita yang sekecil ini, mampu membentuk sebuah negara yang berjaya...Wallahu'alam